PERKASA PORT DICKSON

Tuesday, September 21, 2010

MAT KILAU : PEJUANG MELAYU DAN ISLAM

MAT KILAU : PEJUANG MELAYU DAN ISLAM
(SANNGGUP MENGGADAI NYAWA DEMI KESUCIAN ISLAM DAN TANAH MELAYU)

* JANGAN KITA GENERASI MERDEKA MENSIA - SIAKAN PERJUANGAN MEREKA INI

SATU RENUNGAN

Tentunya ramai yang sudah melupai diri pendekar sufi negeri Pahang yang terbilang ini, iaitu Mat Kilau atau nama sebenarnya iaitu Muhammad bin Imam Rasu.Dilahirkan pada tahun 1847.Beliau berjuang menentang penjajahan Inggeris di Negeri Pahang bersama ayahnya iaitu Imam Rasu atau digelar Tok Gajah atau Orang Kaya Imam Indera Gajah Pahang dan gurunya Datuk Bahaman Orang Kaya Semantan.
Mat Kilau dilahirkan di Pulau Tawar.Sejak dari kecil lagi beliau diajar ilmu agama dan silat oleh ayahnya sendiri Tok Gajah yang merupakan Pahlawan Pahang yang terbilang dan menjadi kesayangan Sultan Ahmad.Beliau juga dihantar oleh ayahnya untuk belajar mengaji dan ilmu agama kepada seorang alim bernama Daud.Selepas itu beliau dihantar lagi menuntut ilmu agama dan kebatinan dengan Haji Osman atau dikenali sebagai Haji Muntuk iaitu Mufti negeri Pahang yang berasal dari Kelantan .
Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman memulakan pemberontakan mereka menentang penjajah sekitar tahun 1891 hingga 1895.
Sebelum kelahirannya, ibunya telah mendapat mimpi langit telah mengeluarkan cahaya berkilau-kilauan.Mimpi tersebut diceritakan kepada Mak Utih iaitu seorang bidan kampung .Mak Utih menasihatkan supaya ibunya Teh Mahada supaya jangan bimbang kerana mengikut tafsirannya mimpi itu membawa berita gembira dan anak yang bakal dilahirkan nanti akan menjadi seorang yang hebat dan terkenal.Mat Kilau dilahirkan pada waktu subuh lalu diazankan oleh ayahnya sendiri Imam Rasu yang juga merupakan Imam Masjid Pulau Tawar Itu.Selepas itu Mat Kilau terus dibelah mulutnya dengan garam , madu dan air zam zam.
Sejak kecil lagi Mat Kilau mempunyai beberapa tanda ganjil di badannya.Bulu roma dibelakangnya berpusar ke arah kiri dan bulu roma di dadanya berpusar ke kanan.Tangan kanan dan kirinya sama kuat begitu juga kaki kanan dan kirinya. Ada tahi lalat besar di pipi kanannya dan satu lagi tahi lalat panjang di bahunya. Dicelah jari kelenkeng kirinya ada buntat embun. Bila umurnya meningkat 7 tahun dia sudah tidak meninggalkan sembahyang fardu dan berpuasa.Bila dia bermain atau bergaduh , pasti dia akan menjadi pemenangnya. Pernah pada suatu hari Tok Gajah memberitahu Mat kilau yang Pahlawan Hang Tuah juga mempunyai buntat embun di celah jari kelenkeng kiri!
Genap umurnya 10 tahun , Mat Kilau sudah cekap bersilat dan bermain senjata.Imam Rasu menetapkan syarat hanya selepas berkahwin barulah diajar ilmu kebatinan silat dan biasanya mereka yang ingin mengamalkan ilmu kebatinan pahlawan melayu ini perlu bertapa di Gua Kota Gelanggi.Menurut ayah Mat Kilau, Tok Gajah, orang pertama yang datang bertapa di Gua itu ialah kawan kepada moyang mereka yang bernama Malim Yunus.
Tahun 1857, adalah tahun permulaan kepada sengketa atau perang saudara di Pahang setelah Bendahara Tun Ali yang memerintah negeri Pahang mangkat.Perebutan kuasa terjadi antara Tun Mutahir dan Tun Ahmad yang merupakan anak Bendahara Tun Ali dari ibu yang berlainan walaupun sebelum mangkat tugas untuk menggantikannya telah diwasiatkan dihadapan Tok Gajah kepada Tun Ahmad. Tun Mutahir iaitu kakanda kepada Tun Ahmad telah membatalkan surat wasiat ayahandanya dan melantik dirinya sebagai Bendahara atau pemerintah Pahang dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja Pahang..Ini menimbulkan kemarahan adiknya Tun Ahmad.Perbalahan adik beradik merebut kuasa inilah sebenarnya punca atau titik bermulanya campur tangan Inggeris di Pahang.Tun Ahmad mendapat sokongan dari Sultan Trengganu dan Raja siam manakala Tun Mutahir mendapat sokongan Inggeris dan Johor.Pada akhir tahun 1857 Tun Ahmad dengan bantuan Tok Gajah berjaya merampas kuasa dari Tun Mutahir.
Ketika belajar dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau diajar juga ilmu untuk menundukkan Gajah dan harimau.ketika remaja Mat Kilau mempunyai 4 orang sahabat baik seperguruannya iaitu Mat kelubi, Mat Tahir, Mat Ali dan Mat Awang.
Selepas Mat Kilau berkahwin dengan Yang Chik anak imam Daud barulah ayahnya Imam Rasu mengajarkan ilmu kebatinan pahlawan melayu kepadanya!Selepas itu dia dihantar oleh ayahnya menuntut ilmu silat dengan Pendekar Arif pula sehingga selepas itu dikatakan Mat kilau semakin mahir menggunakan segala jenis senjata dan mampu ghaib pula!Ada cerita yang mengatakan bahawa Pendekar Arif mampu mengelak tikaman orang walaupun badannya digulung dengan tikar!
Mat kilau pertama kali terjun ke medan perang pada tahun 1868 dalam Perang Saga iaitu melawan angkatan Tun Mutahir yang dibantu oleh Temenggung Johor.Pihak Mat Kilau dan ayahnya Tok gajah menang dengan cemerlang.Oleh kerana khidmatnya yang cemerlang itu, Mat Kilau dilantik oleh Sultan Ahmad menjadi Orang kaya Budu.
Kedatangan beliau ke Budu menjadikan seorang pendekar di Budu yang bergelar Andak sakit hati.Secara diam-diam dia ingin menguji kehebatan ilmu persilatan Mat Kilau.Pada suatu hari, seperti biasa selepas subuh Mat Kilau masuk kedalam belukar di belakang rumahnya untuk mandi embun, yang sudah menjadi amalan diri hariannya sejak bergelar seorang pahlawan.Andak secara tiba-tiba melemparkan sebilah lembing kearah belakang Mat Kilau dari tempat persembunyiannya, namun dia sangat terkejut kerana mata lembingnya yang tajam itu, yang mampu menumbangkan beberapa ekor kijang sebelum itu tidak mampu menembusi kulit Mat Kilau.Mat Kilau menoleh kearah Andak lalu berkata : “Bukan pahlawan melayu namanya jika menikam orang dari belakang”
Lalu diajaknya Andak berlawan dengannya sekadar latihan silat saja lalu disambut oleh Andak.Hanya dengan sekelip mata saja dan mudah Mat kilau dapat menjatuhkan Andak.Selepas itu Andak mengaku kalah lalu terus menjadi sahabat yang setia kepada Mat Kilau pula.
Wan Da dan Wan Aman , anak kepada Tun Mutahir telah membantu Raja Mahadi mengalahkan Tengku Kudin di Selangor, jadi sebagai balasannya Wan Da mendesak supaya Raja Mahadi membantunya pula menyerang dan merampas kuasa di pahang pula.Serangan kali kedua dapat dipatahkan dengan jayanya oleh pahlawan Pahang termasuk Mat Kilau, Imam Rasu dan Datuk Bahaman.Kekalahan puak Raja Mahadi juga amat memalukan mereka , lalu Raja mahadi pun memutuskan untuk tidak lagimenyebelahi Wan Da. Wan Da dan Wan Aman mat marah lalu berpaling tadah menyebelahi Tengku Kudin pula untuk mengalahkan Raja Mahadi! Wan Da diutus oleh Tengku Kudin ke Pahang sebagai tanda persahabatan dan meminta Bendahara Ahmad membantu mereka menentang Raja Mahadi di Kelang.
Bendahara Ahmad bersetuju menghantar tenteranya termasuk pahlawan Pahang seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman menyertai pasukan Tengku Kudin dengan alas an Raja Mahadi pernah melanggar Pahang dan Tengku Kudin juga sanggup menghadiahkan sedikit wang sebagai balasannya! Perang berlaku dan sekali lagi pahlawan pahang berjaya membantu Tengku Kudin mengalahkan Raja Mahadi.Hubungan baik antara Tengku Kudin dengan Bendahara Ahmad menimbulkan rasa tidak senang hati pihak Inggeris lalu mereka mengambil kesempatan untuk bertapak di Pahang pula setelah mereka berjaya bertapak di Perak ,Selangor,Singapura, Negeri Sembilan, Melaka dan pulau Pinang dengan menghantar wakil Inggeris atau seorang Residen .
Oleh kerana Pahang telah campur tangan dalam hal ehwal negeri Selangor, maka Gabenor Inggeris di Singapura meminta Bendahara Ahmad bersetuju menerima kunjungan wakil Inggeris kononnya untuk melawat dan menjalinkan persahabatan dengan Pahang pula.Taktik Inggeris mula menjadi setelah Bendahara Ahmad bersetuju walaupun hasrat Inggeris itu mula dicurigai oleh beberapa pahlawan Pahang seperti Datuk Bahaman dan Mat Kilau.
Kehadiran Gabenor negeri-negeri selat Sir Andrew Clarke ke Pahang bersama 4 buah kapal yang dilengkapi meriam dan senjata perang dan beratus-ratus askar Inggeris yang siap memegang senapang disaksikan oleh seluruh rakyat Pahang ditebing sungai Pahang.Mereka disambut oleh Bendahara Ahmad yang sudah termakan umpan Inggeris dengan kenduri dan seekor kerbau ditumbangkan!
Kedatangan mereka ini membuatkan hati pahlawan pahang terutamanya Mat Kilau mendidih dan membuak-buak.Ditambah dengan muncung meriam yang sengaja dihalakan kedepan, nampak sangat mereka sengaja hendak menunjuk-nunjuk!
Kata Mat Kilau kepada Bendahara Ahmad : “ Datuk Bendahara, Alangkah baiknya sekiranya kedatangan tuan gabenor ini kita sambut dengan tembakan meriam rentaka sebanyak tujuh kali sebagai tanda penghormatan” . “Kita terlupa pula untuk berbuat begitu” kata Bendahara Ahmad sambil tersenyum seolah-olah faham maksud tersirat Mat Kilau itu.
Gabenor Inggeris itu amat terkejut lalu bertanya “ adakah kamu sudah mempunyai meriam seperti kami?” tanyanya dengan penuh kehairanan!
“Orang Pahang sudah ada meriam sejak zaman kesultanan melayu melaka lagi, tetapi ketika Melaka di serang Portugis, kami tidak sempat menolong Melaka” jawab Mat Kilau bangga. “bolehkah kami melihatnya” kata Gabenor itu lagi. “Tidak boleh, kita menyimpannya di tempat yang selamat, hanya sewaktu perang saja kita akan mengeluarkannya” kata Mat kilau lagi.
Kepulangan Gabenor Sir Andrew Clarke ke England digantikan pula oleh Gabenor yang baru iaitu Sir William Jervois. Gabenor yang baru ini telah membaca semua laporan tentang negeri Pahang lalu menghantar seorang pegawai penyelidiknya yang bernama William Cameron ke pahang kononnya untuk menyelidik dan melihat keindahan alam! Padahal ingin mengkaji dan menyelidik dimanakah terdapatnya bijih dan emas yang banyak kerana Pahang memang terkenal kaya dengan hasil bijih dan emasnya, lagipun Pahang sebuah negeri terbesar di Semenanjung Malaysia.
Pada pendapat saya, persetujuan Bendahara Ahmad inilah yang menjadi penyebab berlakunya malapetaka dan bencana di pahang serta pencetus kepada kebangkitan semangat penentangan penjajah oleh Pahlawan pahang seperti Mat Kilau , Tok Gajah dan Datuk Bahaman.


*Bermulanya era penjajahan Inggeris di Pahang….
*Mat Kilau ditembak …. Tetapi peluru biasa tidak mampu menembusi kulitnya…. Hanya peluru emas sahaja yang boleh merobek sedikit kulitnya tetapi tidak pada daging dan tulangnya!
*Hugh Clifford, Residen Inggeris di Pahang juga Kebal dari segala macam senjata tajam dan tidak lut peluru! Pernah belajar ilmu kebatinan di Siam! Beliau amat berdendam dan memusuhi Mat Kilau.
*Mat Kilau boleh ghaib dalam sekelip mata… ada orang kata, kebolehannya itu berkait rapat dengan amalan beliau yang amat meminati dan istiqamah mengamalkan zikir Ya Latif
*Bendahara Ahmad masuk dalam perangkap Inggeris … menjadi raja boneka Pahang.
*Mat Kilau diisytiharkan penderhaka dan pemberontak, hadiah wang ditawarkan untuk menangkapnya.
*Mat Kilau mengalahkan Panglima terhebat dari Perak Datuk Awang Kelana yang dipinjamkan oleh Hugh Clifford untuk mengalahkan Mat Kilau.
*Pernah menetap di Kg Penar Patani, semasa pelariannya dengan nama Mat Siam. Hugh Clifford meminta Raja Siam mengarahkan Sultan Kelantan iaitu Sultan Mansur supaya menyerahkan Mat Kilau hidup atau mati kepadanya.
*Kata Mat Kilau “ Saya pura-pura mati dan kamu boleh membawa ‘mayat’ saya dan menyerahkannya kepada Sultan Kelantan.Sultan boleh memaklumkan kepada Raja Siam yang saya telah meninggal dunia ketika bertempur!”
“Syaratnya, mayat saya mesti dibungkus dengan kain kuning, orang ramai boleh melihat dari jauh sahaja.Apabila sampai di tanah perkuburan,mayat saya boleh digantikan dengan batang pisang” kata Mat Kilau kepada Haji Abdullah serban hijau yang ditugaskan untuk menangkapnya tetapi bertukar menjadi sahabat seperjuangannya selepas menyaksikan Mat Kilau boleh ghaib didepan matanya sendiri !
“Jaminannya, ayah saya Tok Gajah dan Datuk Bahaman mesti berada disisi mayat saya hingga dibawa ke tanah perkuburan, anak-anak murid saya juga dibenarkan mengiringinya, itu sebagai jaminan saya tidak dikhianati”
Sultan mansur pun menghantar utusan ke Siam dengan menyatakan mayat Mat Kilau sudah ada dan terbunuh ketika bertempur.Raja Siam pun percaya lalu memaklumkan kepada Inggeris.Sewaktu hendak menanamkan ‘mayat’ itu, tubuh Mat kilau dilarikan oleh anak-anak muridnya lalu mereka menggantikannya dengan batang pisang!
Namun rahsia itu terbocor oleh salah seorang muridnya menyebabkan Raja Siam dan Inggeris sangat marah.Pada mulanya siam mahu menyerang kelantan tetapi bila mendapat tahu Mat Kilau dan pengikutnya sanggup berjuang mempertahankan Kelantan Siam mulai kecut perut dan tidak jadi menyerang Kelantan. Demi menjaga keamanan negeri kelantan , Mat Kilau pun berpindah ke Kg Pasir Nering
Semasa di Kg Pasir Nering, Mat Kilau diserang Inggeris, satu peluru hinggap dibadannya ketika itu mengoyakkan kulit belikatnya tetapi tidak mampu menembusi daging dan tulangnya! Rupa-rupanya salah seorang anak muridnya belot dan membocorkan rahsia kepada Inggeris bahawa tubuh Mat Kilau hanya lut dengan peluru emas sahaja! Rupa-rupanya benar , selepas diperiksa peluru itu diperbuat dari emas tulen!!! Bayangkan berapa butir peluru yang dibuat oleh inggeris dengan menggunakan hasil bumi Pahang iaitu emas semata-mata ingin membunuh pahlawan tanah air Pahang!!! Betapa jahatnya mereka!
Mat Kilau dalam pelarian dan mendapat perlindungan Tok Ku Paloh di Terengganu , sempat pula berguru dengan wali Allah dan Khalifah Tareqat Naqsyabandiah yang bergelar Qutubul Zaman itu! Tokku Paloh menukar nama ayahnya Tok Gajah kepada Tok Fakir Lebai Salam dan Mat kilau di sebut nama asalnya iaitu Muhammad!
Sekali lagi Mat kilau pura-pura mati pada tahun 1895, untuk mengaburi mata siam dan inggeris, lalu mayatnya dikuburkan di Kampung Dalam Limau, Bunut Payung Kelantan.Sultan Kelantan menggantikannya dengan batang pisang lalu menyuruh Mat Kilau melarikan diri!
Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua orang tokoh ternama dari kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.Mat Kilau juga agak mahir dengan ilmu hutan hingga boleh menyusup masuk ke Terengganu mahupun Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.
Berita tergempar dari akhbar diseluruh Negara pada 1895 menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895 manakala The Free Press pula menyatakan bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditahan, akibatnya dia telah cedera parah di muka dan di kepalanya. Oleh kerana luka-luka itu sangat parah, maka dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah".
Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press pada 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat seorang pejuang terbilang ini , akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui orang ramai kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.
Disebabkan Mat Kilau dianggap sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah beliau mengasingkan diri serta berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang.
Semenjak 1930, Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam. Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada masa itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim supaya memperkenalkan dirinya yang sebenar.
26.12.1969, pada hari Jumaat, selepas Solat Jumaat… Mat Kilau membuat Pengisytiharan dirinya di masjid Kampung Pulau Tawar setelah sekian lama menukar namanya sebagai Mat Siam kerana memegang amanah Almarhum Sultan Abdullah.

Seluruh rakyat Malaysia terkejut dan terharu mendengar berita menggemparkan itu . Hati seluruh rakyat Malaysia berdebar-debar menanti keputusan “Ahli Jawatankuasa Menyiasat Mat Kilau” yang dilantik oleh kerajaan negeri Pahang. Akhirnya, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan dan disahkan sebagai Mat Kilau yang sebenar oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd She, Oleh itu maka sahlah Mat Siam itu adalah Mat Kilau anak kepada Imam Rasu atau Tok Gajah , Pendekar Pahang yang terbilang itu!
Akhirnya , pada tanggal 16 ogos 1970, pada usia 123 tahun, Pendekar Sufi terbilang ini telah menghembuskan nafas terakhirnya dan disemadikan di tanah perkuburan Pulau Tawar bersebelahan dengan kubur ibunya Teh Mahada atas wasiat Mat Kilau sendiri sementara ayahnya telah meninggal dunia dalam pelarian dan dikuburkan di kampung Pasir Nering Trengganu.
Sempena mengingati pemergiannya menemui Tuhannya lebih kurang 40 tahun yang lalu, setelah berjuang dan berkorban melawan musuh islam iaitu penjajah Inggeris dan Siam, marilah kita sama-sama menghadiahkan surah Al-Fatihah kepada beliau!


Kata-kata semangat Mat Kilau untuk renungan anak bangsa :
“Aku rela mati semasa bertempur dengan penjajah daripada menyerah dan mati di tali gantung mereka !”
Pada pendapat saya , Mat Kilau, Tok Gajah , Datuk Bahaman dan pasukannya mampu berlawan dan boleh menang dengan Inggeris di Pahang, tetapi SEBENARNYA mereka tidak mahu bertempur dengan Bendahara Ahmad dan pasukannya yang terdiri dari orang-orang melayu yang sebangsa dan seagama dengan mereka.Mereka juga tahu Bendahara Ahmad telah dipaksa oleh Inggeris untuk menghapuskan mereka!Mereka rela mengambil keputusan untuk melarikan diri , bukan kerana takut tetapi demi menjaga kepentingan Raja dan Rakyat Pahang agar mereka tidak terkorban secara sia-sia akibat tipu muslihat licik penjajah!



Wassalam.

Friday, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1431

SELURUH WARGA PERKASA PORT DICKSON MENGUCAPKAN KEPADA SELURUH UMAT ISLAM, SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN. BERSATULAH BANGSAKU UNTUK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA TERCINTA.